Wednesday, October 10, 2007

Al-Quran Sumber Ilmu

Allah SWT telah menurunkan al-Quran sebagai satu mukjizat yang membuktikan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. dan kewujudan Allah SWT dengan segala sifat-sifat kesempurnaannya. Membaca al-Quran serta menghayati dan mengamalkannya adalah satu ibadat. Ia merupakan satu kitab panduan hidup manusia dan rujukan utama di samping sunnah Rasulullah. Al-Quran dinukilkan kepada kita secara mutawatir, pasti dan qat’i dan ditulis mashaf yang hari ini lebih dikenali sebagai mashaf ‘Uthmani. Adalah wajar bagi kita umat Islam mengkaji sejarah al-Quran dan perkara yang berkaitan dengannya. Ini bertepatan dengan ajaran islam itu sendiri yang menyeru umatnya untuk sentiasa mencintai ilmu..


Sesungguhnya al-Quran merupakan agama yang amat menitikberatkan soal ilmu.
Tidak ada satu agama pun dalam sejarah umat manusia yang menyeru mereka supaya menuntut ilmu seperti yang dituntut oleh agama Islam. Juga tidak pernah diketahui dalam sejarah bahawa orang yang lebih mengamati terhadap penyebaran ilmu selain daripada Nabi Muhammad S.A.W. Demikianlah dalam al-Quran terdapat lebih 900 ayat mengenai persoalan khusus mengenai ilmu. Bilangan ini tidak termasuk lagi bidang ilmu secara pemahaman abstrak dan realiti yang dilihat

Sekiranya kita singkap kembali sejarah penurunan al-Quran maka akan kita dapati bahawa ayah yang pertama sekali diturunkan kepada nabi Muhammad merupakan suatu seruan ke arah pembudayaan ilmu

Firman Allah SWT:

Ertinya:

“Bacalah dengan menyebut nama tuhan kamu yang telah menjadikan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dengan nama tuhanmu Yang Maha Pemurah yang telah mengajar manusia dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan manusia apa yang mereka tidak ketahui.”

Perintah membaca di sini bukanlah sekadar menyeru untuk belajar sebagaimana yang selalu terlintas dalam pemikiran kita, tetapi ia mengandungi erti yang lebih luas dan mendalam daripada itu. Manusia membaca untuk mengetahui dan mengikuti apa-apa yang terbaru dalam bidang keilmuanDengan membaca maka kita mengetahui. Dengan mengetahui maka kita boleh membuat. Dengan membuat, kita boleh mengubah keadaan kita dan dunia.
Dalam konteks ini dapat kita melihat bagaimana ayat pertama itu merupakan satu petanda bangkitnya suatu peradaban baru yang mementingkan kuasa ilmu. Malah keseluruhan wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT itu diberi nama al-Quran yang berasal daripada perkataan "qaraa"
yang beerti bacaan atau yang dibaca.

Dalam hal ini, sudah tentulah satu-satunya jalan untuk mendapatkan ilmu ialah melalui proses pendidikan. Kepentingan menuntut ilmu memang tidak dapat dinafikan lagi di dalam agama Islam. Menuntut ilmu merupakan tanggungjawab setiap umat Islam. Tuntutan ini merupakan sesuatu yang penting kerana ia menjadi salah satu kriteria penting untuk dikategorikan dalam golongan bertakwa.

Firman Allah SWT:

Ertinya:

“Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya ialah para ilmuwan”

(al-Fathir: 28)

Namun demikian, harus kita sedari bahawa ilmu yang dituntut tidak akan bermakna sekiranya ia tidak dapat menjadi alat untuk kita semakin hampir kepada Allah SWT. Lantaran itulah manusia perlu kembali kepada al-Quran dan menjadikannya landasan dalam kehidupan agar ilmu yang dituntut mampu membawa kita ke destinasi yang dituju dengan selamat.

Kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh umat Islam suatu ketika dahulu dalam ilmu pengetahuan menjadi bukti kepada kesyumulan al-Quran itu sendiri. Bukti yang jelas perkembangan ilmu semasa zaman Nabi Muhammad SAW di kota Madinah. Penerokaan ilmu digalakkan. Masjid menjadi pusat pembelajaran formal. Di samping itu dapat dilihat juga pada Baghdad semasa zaman pemerintahan Bani Abbasiah, manusia ketika itu telah menguasai pelbagai bidang pengetahuan. Umat Islam telah berjaya dalam bidang ilmu astronomi, sains, matematik, seni bina, fizik, biologi dan lain-lain.

Kehebatan Tamadun Islam telah memberi peluang kepada orang barat membuat perincian terhadap ilmu-ilmu yang dipelopori oleh Islam. Nama-nama seperti al-Razi, Ibnu Sina, al-Biruni, Ibnu Haitham dan al-Ghazali turut disanjung barat.


Natijahnya kegemilangan yang dikecapi oleh tamadun tersebut terus hilang dari pandangan umat Islam. Keagungan yang dicipta hasil dorongan ilmiah al-Quran terus dilupakan dan tenggelam dalam arus pemodenan Barat dan seisinya. Apakah mereka bangga dan mendabik dada bahawa kemajuan sains dan teknologi adalah sumbangan mereka kepada dunia?


Tahukah kita penemuan-penemuan kemajuan sains dan teknologi masa kini adalah selari dengan petunjuk ilmu pengetahuan yang dikemukakan di dalam al-Quran? Sebelum manusia mencapai kecanggihan pada abad sekarang dan seterusnya. Hakikat ini ada ditonjolkan oleh Allah S.W.T. melalui firmanNya:

Ertinya:

“Akan Kami memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri sehingga jelaslah bagi mereka bahawa al-Quran itu adalah benar. Dan apakah dengan kekuasaan tuhanMu itu tidak cukup buatmu untuk mengakuinya. Sesungguhnya Dia (Allah) amat menyaksikan (benar) ke atas semua yang berlaku.”


Manusia diciptakan oleh Allah SWT sebagai makhluk yang sempurna kerana memiliki perbezaan dengan makhluk lain. Dalam penciptaannya, ia dilengkapi dengan pancaindera , nafsu, hati nyawa dan akal. Malah manusia juga diberikan panduan hidup yang membawa kepada kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat bukan hanya menurut tuntutan hawa nafsu. Bahkan Allah SWT dengan Rahmat dan kasih sayangNya telah membuka pintu-pintu keselamatan dan kesejahteraan untuk memenuhi fitrah naluri manusia untuk mengembangkan zuriat dan keturunan dengan berkeluarga. Maka di sinilah berlakunya proses persenyawaan dua insan sehingga terjadinya proses kehamilan.

Firman Allah SWT:

Ertinya:

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari satu saripati (berasal) dari tanah. Kemudian kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu kami jadikan tulang-belulang, lalu tulang belulang itu kami bungkus ia dengan daging. Kemudian kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka maha suci Allah, Pencipta Yang paling Baik.

(al-Mu’minun:12-14)

Proses kehamilan manusia adalah suatu perkara yang unik dan ajaib. Penciptaan manusia adalah satu tanda kebesaran Allah SWT yang patut disyukuri. Proses ini juga berbeza dengan penciptaan makhluk lain yang menjadi satu perbahasan antara ilmuwan Islam dan barat. Sains juga telah membahaskan mengenai bagaimana proses kehamilan ini berlaku. Malah kita dapat ketahui bahawa apa yang dibahaskan dalam fakta-fakta sains juga terdapat dalam al-Quran. Bahkan fakta ini telah diterangkan oleh al-Quran Sejak 14 abad terdahulu lagi sebelum perkara ini ditemui dan diketahui oleh pakar-pakar sains menjelang ke abad kedua puluh. Ini tidak membawa kepada masalah dan keraguan dalam mengetahui proses kehamilan bahkan membawa satu keuntungan dalam bidang ilmu dan membawa manusia ke arah pemikiran yang seimbang.


Selain daripada menyentuh berkenaan embriologi al-Quran juga turut myentuh perkara yang berkaitan dengan ilmu astronomi

Sebagaimana firman Allah:

Ertinya :
”Wahai sekalian jin dan manusia! Jika kamu sanggup melintasi semua penjuru langit dan bumi, maka lintasilah. Namun kamu tidaklah akan dapat melintasinya kalau tidak dengan kekuasaan.”

Dalam suku kata pertama ayat di atas,Allah telah memberi kebebasan kepada manusia supaya melintasi segala penjuru bumi, baik untuk mengetahui rahsia keajaiban alam ataupun mencari kepuasan berilmu.


Manakala suku kata kedua ayat ini memberi inspirasi yang sangat tinggi kepada kita semua bahawa manusia sememangnya mampu melintasi (menembusi langit dan bumi) jikalau mereka betul-betul mahu sampai kepadanya. Justeru itu, Allah menyebut (dengan kekuasaan). Sesungguhnya dengan kekuasaan ilmulah manusia dapat membuktikannya.


Tetapi malangnya umat Islam tidak menggunakan ilmu ini untuk mencipta sejarah kegemilangan. Sebaliknya orang-orang barat (Eropah) yang begitu prihatin kepada ilmu dan cuba menerokanya, telah berjaya mencipta sejarah dapat menembusi ruang langit dan bumi yang dinyatakan oleh Allah S.W.T. sehingga sampai ke bulan dengan pesawat angkasa lepas pada tanggal 12 April 1961 oleh pelopornya Yuri Gagarin. Diikuti pula oleh kejayaan pesawat Columbia (milik Amerika Syarikat) pada 14 Arpril 1981 dan percubaan-percubaan lain untuk sampai ke planet yang lebih jauh, seperti pesawat Chalenger pada tahun 1986, tetapi menemui kegagalan. Adakah mereka mampu untuk meneruskan usaha ini kalau tidak dengan kekuasaan yang telah diberikan oleh Allah kepada makhluknya.


Demikian juga Allah telah memberikan ilustrasi mengenai oksigen di sebalik ruang atmosfera bumi akan semakin berkurangan apabila naik ke peringkat yang lebih tinggi seperti menembusi ruang bumi.

Firman Allah S.W.T.:

Ertinya:

“Dan sesiapa yang disesatkan Tuhan, maka dijadikannya sesak dan sempit dada mereka seumpama orang yang naik ke langit”.
(
al-An’am: 125)

Jelas sekali apa yang terkandung di dalam al-Quran merentasi masa. Sebelum manusia mengkaji dan mengetahui perkara tersebut Allah terlebih dahulu menyebutnya di dalam al-Quran . Tidak syak lagi sekiranya manusia mengkaji, meneliti dan menghayati apa yang terkandung di dalam al-Quran pelbagai khazanah ilmu mampu manusia terokai

Monday, April 16, 2007

MARAH: ANTARA BAIK DAN BURUK

Ada orang kata marah ni tak elok, cepat tualah, orang tak respectla. Ade juga yang kata kalau takde sifat marah nanti ramai orang pijak kepala kita. So, camne? Marah ni bagus ke tak. Mungkin saye bole kongsi serba sedikit maklumat yang saya dapat pasal marah ni untuk panduan kita bersama.

Marah sering dikaitkan dengan sesuatu yang negatif. Namun sejauh manakah kebenarannya? Bukankah marah itu merupakan sifat semulajadi yang Allah kurniakan kepada manusia? Manusia tidak perlu belajar untuk menjadi marah kerana ianya lahir secara semulajadi.

Menyebut berkenaan marah Hamka di dalam bukunya yang berjudul Tasauf moden mengatakan bahawa kemarahan itu sesuatu yang perlu ada bagi manusia. kerana tanpa marah manusia akan hilang daya pertahanan. Kemarahan adalh menjadi sebab wujudnya sensitiviti terhadap sesuatu perkara. Tanpa sifat marah, maka seseorang manusia itu tidak ubah seperti makhluk yang tidak bernyawa.

Persoalannya ialah sejauh manakah kita sebagai umat Islam meletakkan perasaan marah itu sesuai pada tempat, waktu dan keadaannya supaya ianya mampu memeberi impaks yang positif buat diri kita? Marah yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia hendaklah dikawal oleh akal. Marah merupakan sifat yang timbul daripada nafsu. Oleh yang demikian, sekiranya akal tidak mengwal rasa marah, nafsu akan mengambil alih peranan kawalan secara total sehingga timbullah beermacam-macam perkara negatif antaranya dendam dan hasad dengki yang akhirnya boleh mengakibat kesan yang lebih buruk seperti membunuh.

Seharusnya kita sebagai manusia menjadikan akal sebagai raja kepada kerajaan diri yang terdiri daripada hati dan nafsu. Akal memainkan peranan penting agar keduanya dapat bergerak secara seimbang. Lantaran kepincangan pada akal dalam meneraju kerajaan dirilah yang akan menjadikan nafsu bertindak di luar batasan.

Dek kerana dahsyatnya bahana yang dibawa oleh perasaan marah tanpa kawalan, maka timbullah seperti yang dimisalkan oleh Hukama, “Orang yang marah adalah laksana gua batu yang terbakar, api terkurung di dalamnya dan angina masuk juga mengipasnya sehingga terkumpullah di dalam gua asap dan wap, yang menambahkan panas. Kedengaran api memakan kelilingnya, habis semuanya jadi bara. Meskipun diusahakan menyiram ,maka air yang disiram itu akhirnya akan menjadi laksana minyak tanah, maenambah maraknya api.”

Demikianlah ibaratnya andai kemarahan tidak dikawal sebelum menjalar.
Tatkala nafsu marah menguasai diri, manusia akan lupa kebenaran, pekak telinganya meskipun diajari bahkan adakalanya pengajaran yang diberikan itu menambah marahnya juga. Menurut Imam Ghazali, kemarahan manusia bermacam-macam. Sesetengahnya marah, lekas tenang dan lekas hilang. Sesetengahnya pula, lambat untuk marah dan lekas pula hilangnya. Yang terakhir itulah yang terpuji.

Lalu di sini timbul persoalan, bagaimanakah marah yang dibenarkan oleh Islam itu sendiri? Dalam hal ini, ahli tasauf Islam menerangkan bahawa marah itu terpuji hanya dalam dua perkara saja iaitu marah mempertahankan kehormatan dan marah mempertahankan agama.

Hamka, dalam perkara ini menerangkan bahawa orang yang tiada perasaan marah dalam hal mempertahankan agama, merupakan orang yang bersifat dayus. Disebabkan hal inilah Islam memuji orang yang cemburu di dalam menjaga isterinya.Cemburu yang juga merupakan ranting yang tumbuh daripada dahan marah mesti ada pada lelaki supaya nasab dan keturunannya terpelihara dan tidak rosak.

Dalam soal mempertahankan maruah agama pula, begitu juga halnya. Rasulullah S.A.W pernah memuji sahabatnya-sahabatnya kerana sifat mereka yang sangat keras terhadap orang yang ingkar terhadap suruhan Allah di samping sangat berkasih-kasihan di antara sesama mereka. Perkara ini dijelaskan di dalam sabda Rasulullah S.A.W, ‘’Yang sebaik-baik umatku ialah yang sikapnya keras di dalam menjalankan hukum agama.” Dalam menjalankan hukum Islam terhadap orang yang bersalah, di dalam Al-quran ada mengingatkan kita, “Jangan kenal kasihan di dalam menjalankan hukum Allah.”

Namun demikian, tidaklah bermakna ayat al-quran dan hadis tersebut dapat menjadi alasan bagi seseorang untuk mengnhukum sesuka hati golongan yang ingkar terhadap suruhan Allah. Dalam soal hukuman ini, islam telah pun meletakkan garis panduan yang perlu diikuti sebelum seseorang itu boleh dijatuhkan hukuman.

Bagi seorang muslim, kemarahan yang hadir itu hendaklah terbit dari hati yang ikhlas dalam merperjuangkan agama Allah supaya nafsu tidak mengambilalih peranan akal dalam mengendali sifat marah tersebut. Kata Hamka, “Marah kerana diri menutup keadilan dan marah kerana agama mencari keadilan”. Hujah ini turut dikuatkan lagi dalam sebuah kisah yang berlaku kepada Saidina Ali di dalam sebuah peperangan. Beliau yang hampir berjaya membunuh seorang lawannya dalam peperangan, melepaskan musuh tersebut semata-mata kerana musuh tersebut telah meludah ke mukanya sebelum sempat tikaman pedang Saidina Ali mengenai musuh tersebut. Tindakan beliau tersebut lantaran sifat beliau yang ikhlas dalam memperjuangkan agama Allah. Beliau bimbang andainya sewaktu membunuh musuh tersebut, rasa marah kerana dirinya diludah mengatasai rasa marah kerana agama.
Juteru, sifat marah yang ada pada diri kita ini hendaklah dikendalikan secara bersederhana supaya sifat marah ini dapat menjadi elemen pelengkap dalam mengecap kebahagiaan. Hal ini bertepatan dengan pandangan Imam Ghazali. Kata beliau, “Kesempurnaan bahagia itu bergantung kepada tiga kekuatan iaitu kekuatan marah, kekuatan syahwat dan kekuatan ilmu. Ini bermakna marah dan syahwat yang tumbuh daripada dahan nafsu akan membuahkan kesan yang positif sekiranya akal dapat mengawal dan mengimbangi pengaruhnya di dalam diri seseorang.

Secara kesimpulannya sifat marah ini merupakan suatu anugerah daripada Allah kepada manusia. Tanpa sifat ini, manusia tidak mungkin mampu mendaki tangga bahagia. Jelaslah di sini bahawa sifat marah yang Allah kurniakan kepada manusia, bukan untuk kita terperosok dan tertawan di bawahnya sebaliknya sebagai kenderaan dalam menuju destinasi bahagia.

KEM BIJAK SOLAT

Gambar kenangan komiti, fasilitator dan peserta yang terlibat
dalam Kem Bijak Solat

14 April 2007- Surau Darussalim, Subang – Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) ABIM telah menghantar 2 orang wakilnya termasuk penulis sebagai Komiti bagi Kem Bijak Solat anjuran ABIM Shah Alam dan Surau Darussalim sempena sambutan Maulidurrasul pringkat surau Darussalim. Kem Ibadah ini merupakan sebahagian daripada aktiviti sempena sambutan tersebut. Program tersebut telah dsisertai seramai 45 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah. Manakala, Komiti dan Fasilitator pula masing-masing seramai 23 orang dan 4 orang yang terdiri daripada penuntut pelbagai IPT. Program tersebut telah berlangsung selama 2 hari.

Objektif utama program tersebut adalah untuk memberi kesedaran kepada peserta akan kepentingan solat serta memastika setiap peserta tahu mengerjakan solat. Selain itu program tersebut juga adalah sebahagian usaha ABIM untuk mengakar di dalam masyarakat dalam usaha menyampaikan dakwah.

Pada malam 14 April tersebut pihak surau telah menjemput Ustaz Uthman El-Muhammady untuk memberi ceramah sempena sambutan Maulidurrasul. Ceramah tersebut turut menjadi sebahagian daripada aktiviti bagi Kem solat. Ceramah tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk sekitar.

Selepas selesai ceramah pada pukul 11 malam, aktiviti kem diteruskan dengan aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK). LDK merupakan sesi yang penting bagi menghasilkan kesan yang efektif kepada para peserta. Sewaktu LDK fasilitator yang telah ditetapkan bagi setiap kumpulan memainkan peranan yang penting sebagai sumber penyampain ilmu buat peserta. Selain itu ketika inilah peluang digunakan sebaik mungkin bagi merapatkan lagi ukhwah dengan para peserta.

Selepas selesai sesi LDK, para peserta berkumpul bagi sesi muhasabah. Sesi ini bertujuan untuk menimbulkan keinsafan di dalam hati peserta yang diharapkan dapat mencetuskan perubahan ke arah kebaikan buat para peserta. Pada sesi tersebut, fasilitator yang mengendalikan sesi ini membawa peserta bermain dengan perasaan masing-masing bagi menimbulkan rasa keinsafan.
Pada 15 April, seawal pukul 4.45 pagi, aktiviti diteruskan dengan Qimulail. Kebiasaannya, aktiviti inilah yang menjadi cabaran buat para peserta termasuklah komiti dan fasilitator. Namun di sinilah terletaknya latihan ke arah kekuatan jiwa untuk melawan nafsu. Sesungguhnya Allah amat menyukai hambaNya yang istiqamah dalam melakukan Qiamulalil. Tempoh masa Qiamulail merupakan waktu yang mustajab untuk kita berdoa.

Apa yang penulis paparkan ini merupakan sebahagian daripada aktiviti yang dijalan kan sewaktu kem ibadah tersebut. Masih ada lagi beberapa sesi yang tidak penulis nyatakan. Seharusnya program seperti ini diperbanyakkan lagi bagi masyarakat muslim bagi menimbulkan kesedaran akan kepantingan solat dan memberi pengetahuan tentang solat khusunya buat generasi muda.

Sebenarnya dalam masyrakat kita sekarang, masih ramai di kalangan anak muda yang tidak membudayakan solat dalam kehidupan mereka. Ada di kalangan mereka sememngnya tidak tahu kedah pelaksanaannya dan ada juga tahu tetapi tidak merasakan kepentingan ibadah ini ditunaikan dalam kehidupan mereka. Di silah peranan bagi mereka yang mempunyai kesedaran untuk menyampaikan seruan dakwah bagi mebudayakan Islam sebagai satu-satunya cara hidup yang diredhai Allah.

Kem solat yang dilakukan ini bukanlah semata-mata untuk memenuhi tentatif program sempena maulidurrasul. Bahkan lebih daripada itu, ianya merupakan misi yang berterusan kerana dakwah itu sendiri sesuatu yang mesti dilakukan bagi setiap individu. Oleh kerana itu di akhir program, setiap komiti dan fasilitator telah mendapat beberapa orang adik angkat mengikut pebahagi yang telah diaturkan. Hal ini bagi memastikan kesinambungan dakwah terus berlangsung dan supaya ianya tidak habis setakat program yang berlangsung selama dua hari.

Walaupun program ini agak memenatkan, namun berbekalkan semangat untuk melihat islam tumbuh subur di dalam hati anak-anak muda maka segala kepenatan itu dirasakan berbaloi. Sesungguhnya generasi muda merupakan generasi pelpis pada masa akan datang. Golongan inilah yang akan menentukan corak kehidupan pada masa hadapan


Sesi beramah mesra bersama Dato' Moktar Dahlan ketika
lawatan beliau secara mengejut ke kem tersebut

Sunday, April 15, 2007

Syariatullah dan Sunatullah

Pada 11 April yang lalu aku telah berpelauang negikuti Siri ke-3 kuliah Khilafah Uthmaniah yang telah disampaikan oleh ustaz Hasrizal. Siri kuliah pada kali ini telah dihadiri seramai 12 orang. Kuliah tersebut telah dimulakan lebih kurang pada pukul 9.15 malam.

Pada malam tersebut, ustaz Hasrizal telah menyentuh berkenaan dengan sejarah pembukaan Kota Konstantinople atau sekarang kita kenalinya sebagai Istanbul. Apa yang menariknya pada kuliah ini ustaz Hasrizal tidak sekadar mengupas dari sudut fakta sejarah semata-mata tetapi turut mengupas dari sudut pengajaran untuk diaaplikasikan dalam kehidupan kita semua. Ustaz Hasrizal telah mengaitkan kejayaan Sultan Muhammad al-Fateh dalam membebaskan kota konstantinople daripda tangan pemerintah kristian dengan peraturan Allah.

Dalam hal ini, menurut ustaz Hasrizal, peraturan Allah terbahagi kepada dua iaitu syariatullah dan sunnatullah. Untuk menjadi seorang mukmin yang professional, setiap individu mestilah mematuhi kedua-dua peraturan Allah ini. Syariatullah merupakan peraturan Allah yang terdiri daripada hukum yang lima iaitu wajib, sunat, makruh, haram dan harus. Bagi seorang yang bertaqwa mereka akan menjagia hukam hakam ini. Namun harus kita ketahui bahawa hukum hakam ini adalah merupakan sebahagian daripada peraturan Allah kerana seperti yang telah disebutkan tadi, selain syariatullah, perturan Allah yang lain ialah sunnatullah.

Sunnatullah adalah aspek yang besar dan penting yang terselindung di sebalik semua peristiwa sejarah. Sejarah bukan sekadar untuk mengetahui kisah lampau semata-mata, tetapi juga untuk melihat “enjin” di sebalik semua peristiwa yang berlaku. Enjin yang dimaksudkan di sini ialah sunnatullah. Dengan eri kata lain, Sunnatullah juga ialah peraturan alam. Contohnya api sifatnya panas. Namun hakikatnya yang menjadikan api ini panas sifatnya ialah Allah. Peraturan ini mampu berubah dengan izin Allah sepertimana peristiwa Nabi Ibrahim dibakar. Allah telah mengarah kan kepada api supaya tidak membakar maka api tersebut tidak mendatagkan sebagarng kesan kepada Nabi Ibrahim.

Seterusnya. Ustaz Hasrizal telah mengaitkan pembinaan peribadi mukmin professional dengan syariatuullah dan sunnatullah. Ape kaitannya peraturan Allah ini dengan sifat profesionalisme? (Bersambung)

Sunday, April 8, 2007

HARAPANKU

Adik-adikku
Cintailah Allah
Walau di mana dikau berada
Beserahlah kepada-Nya
Beribadahlah dengan keikhlasan
Jauhi maksiat dan kemungkaran

Adik-adikku
Ingatilah Rasul selalu
Basahi lidahmu dengan selawat
Jadikan sunnahnya kenderaanmu
Menyusuri ranjau kehidupan duniawi
Agar tidak terpesong haluan diri

Wahai adik-adikku
Cintailah insan di sekelilingmu
Cinta insani perlu kejujuran hati
Bersama iman menghiasi
Akan bercahaya kasih sejati

Bangkitlah adik-adikku
Dari diulit lena
Teruskanlah perjuanganmu
Kembalikan kegemilangan Islam
Jangan kau mudah terpedaya
Dengan helah dunia yang fana

Oh adik-adikku
Tegakkan agamamu
Sepenuh jiwa ragamu
Peliharalah solatmu
Jadikan malu pakaian dirimu
Nescaya taqwa menjadi hiasan dirimu
Moga kebaikan menjadi hadiah buatmu

Ketahuilah adik-adikku
Betapa aku menghargai
Ukhwah yang terjalin kini
Walau masa bersama hanya seketika
Namun keakraban silaturrahim dapat kurasai

Terima kasih adik-adikku
Jasa kalian kuingati selalu
Bukan intan permata kujanjikan
Bukan jua emas selautan kutawkan

Ketahuilah ganjaran daripadanya sedia menanti
Sekiranya ikhlas bertunjang di hati
Ketahuilah jua pengalaman itu tidak mampu dibeli
Walau dilimpah kemewahan duniawi

Ya Allah Ya tuhan,
Kami pohon padamu,
Terangilah hati kami
Agar mampu memajukan diri
Menjadi insan pilihan-Mu
Terlepas dari azab seksaan-Mu

Kuharapkan kalian
mendengar suara hatiku
Yang kunukilkan buat kalian
Agar tenang pemergian ini
Moga ukhwah terjalin bertaut keimanan hakiki
Inilah harapanku...

Saturday, March 24, 2007

Salam Perkenalan

Assalamualaikum W.B.T.

Pertama dan selamanya dipanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan keizinanNya maka pada hari ini saya telah pun membuka weblog yang saya namakan sebagai "Tinta Hikmah". Harapan saya melalui weblog ini, saya dapat melatih diri saya dalam proses untuk memahirkan penulisan saya.

Bagi saya, penulisan merupakan antara senjata utama bagi seorang daie dalam menyampaikan seruan dakwahnya. Hal ini telahpun terbukti melalui pelbagai hasil penulisan yang telah dikarang oleh golongan ulama baik yang silam mahupun yang mutaakhir ini. Menyedari hakikat ini maka tergerak hati saya untuk membuka laman ini.

Di kesempatan ini saya mengucapkan ahlan wasahlan bagi mereka yang melayari laman saya ini. Bagi mereka yang belum mengenali saya, salam perkenalan saya ucapkan dan bagi mereka yang mengenali diri saya, semoga ukhwah kita terus berkekalan kerana Allah.

Semoga dengan kemunculan "Tinta Hikmah" ini dapat memberi manfaat kepada diri saya dan juga rakan-rakan sekalian. Akhir kata marilah bersama-sama memriahkan laman ini..